Kenapa guru lelaki kurang minat menjadi guru.................

Wednesday, May 13, 2009

Senario kekurangan guru lelaki bukan sahaja dihadapi oleh negara ini namun turut dialami di kebanyakan negara di dunia. Mengikut Australia Bureau of Statistics, guru lelaki hanya menyumbang kepada 30 peratus profesion perguruan dari tahun 1997-1998. Di England, keadaan yang serupa berlaku sehingga banyak kempen dilakukan untuk menarik minat kaum lelaki untuk menyertai bidang ini. The Teacher Training Agency telah menjalankan kempen supaya kaum lelaki menjadi guru terutama di sekolah rendah. Namun hasilnya masih lagi tidak memuaskan.

Kira-kira 70 peratus daripada 289,766 jumlah keseluruhan guru di negara ini adalah dari kalangan wanita. Keadaan ini boleh menyebabkan negara menghadapi masalah kekurangan serius guru lelaki dalam tempoh beberapa tahun lagi sekiranya langkah-langkah segera tidak diambil. Ini menyebabkan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) meminta Kementerian Pelajaran melonggarkan syarat kelayakan akademik sebagai langkah drastik untuk membolehkan lebih ramai lelaki memasuki maktab perguruan di seluruh negara.

Banyak pihak tidak menyokong akan cadangan ini termasuklah mantan Menteri Pelajaran Malaysia, Datuk Hishammuddin Tun Hussein kerana langkah ini dilihat sebagai boleh merendahkan martabat profesion perguruan.

Mengapakah lelaki amat kurang berminat dalam bidang ini? Tentunya pelbagai faktor yang turut menyumbang kepada senario ini. Satu kajian mengenai motif untuk mengajar telah dilakukan oleh Zainal Abidin Sarji (1975). Mengikut kajian beliau, motif yang paling utama bagi pelatih-pelatih guru perempuan ialah mereka memang bercita-cita untuk mengajar diikuti oleh faktor ekonomi - gaji. Berbakti kepada masyarakat dan negara merupakan motif yang ketiga. Motif-motif lain ialah cuti panjang dan waktu kerja yang pendek, suka bekerja dengan kanak-kanak, prospek kerjaya yang bagus, kerja yang menarik dan juga faktor pengaruh.

Berbanding dengan guru pelatih lelaki, mereka lebih mementingkan kewangan. Matlamat-matlamat di atas mungkin boleh mewujudkan perbezaan sikap antara mereka terhadap kerjaya sebagai guru.

Antara faktor yang dilihat sebagai pembatasan penyertaan lelaki dalam bidang perguruan ialah faktor status sosial yang rendah terutama bagi guru lelaki. Gaji yang tidak memadai jika dibandingkan dengan tugas yang dijalankan dan bidang kerjaya yang terhad terutama sekali bagi mereka yang tidak berminat dalam bidang pentadbiran juga menyumbang kepada penyebab kekurangan guru lelaki dalam profesion ini.

Kajian oleh Collins (1994) menunjukkan sebanyak 47 peratus memilih profesion perguruan kerana cuti yang menarik. Sementara 32 peratus menekankan sebab suka bekerja dengan orang muda dan 22 peratus mengatakan peluang meneruskan pelajaran dalam bidang akademik. Ada juga yang memilih kerjaya guru kerana tiada pilihan lain. Belia dari kawasan luar bandar menunjukkan mereka lebih cenderung untuk memasuki bidang perguruan berbanding dengan belia dari kawasan bandar.

Hasil satu kajian yang dilakukan di Australia menggariskan beberapa langkah yang boleh diambil untuk menangani masalah kekurangan guru lelaki. Antara lainnya ia mencadangkan agar melihat apakah masalah yang dialami oleh guru lelaki yang menyertai bidang ini.

Status bidang perguruan perlu dipertingkatkan di mana ia perlu dijadikan lebih menarik terutama bagi kaum lelaki. Kerjaya guru perlu dijadikan sebagai satu kerjaya yang menarik dan berupaya menggalakkan peluang-peluang kenaikan pangkat. Selain itu, faktor-faktor yang berkaitan dengan pemilihan kemasukan ke dalam bidang ini juga perlu disiasat. Strategi menarik lebih ramai guru lelaki ke dalam profesion ini perlu difikirkan. Kempen menarik minat kaum lelaki menyertai bidang ini juga perlu dijalankan.

Hakikatnya, guru lelaki (dengan jumlah yang seimbang) boleh sama-sama berganding bahu dengan guru wanita untuk menjadikan persekitaran pendidikan menjadi lebih baik, kondusif, sesuai, berimbang supaya proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih ceria.

Membentuk Malaysia yang gemilang, cemerlang dan terbilang memerlukan komitmen kaum lelaki dan wanita. Salah satu cara yang paling berkesan ialah melalui proses pendidikan.



Hrmm... bagaimana pandangan anda?

0 comments: